Wednesday, 20 April 2016

Sebat Politik Episod 1: Perladangan Manusia

Moderator: Salam sejahtera. Anda sekarang sedang menonton rancangan  bertajuk "Sebat Politik." sebuah rancangan bual bicara yang akan mengupas pelbagai isu-isu menarik yang tidak akan dibatasi oleh sebarang undang-undang manusia. Bagi episod pertama, tajuk yang dipilih adalah "Perladangan Manusia." Untuk itu, Sebat Politik telah menjemput tiga orang ahli panel iaitu Yang Amat Berhormat Datuk Muhammad Nor Hafeez Bin Muhammad, Menteri Penerangan Malaysia, Professor Dr. Ahmad Kamal Bin Januddin, Ketua Jabatan Antropologi Universiti Sains Malaysia, dan Yang Berhormat Dato' Ahmad Mustaffa Bin Ramlee, Setiausaha Parti Sosialis Malaysia. Selamat datang dan terima kasih saya ucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel.

Isu Perladangan Manusia telah menjadi satu fenomena atau kontroversi apabila kerajaan seolah-olah memberi isyarat bahawa mereka secara prinsipnya bersetuju untuk meluluskan undang-undang berkaitan perladangan manusia untuk kemaslahatan rakyat Malaysia. Ringkasnya, undang-undang ini membolehkan projek menternak manusia bagi tujuan mendapatkan organ-organ, tisu-tisu atau sebarang produk atau kandungan manusia yang akan memberi faedah atau membantu rakyat yang memerlukan. Sebagai contoh, usaha ini dapat membantu meningkatkan tabung darah negara atau memberi peluang kepada rakyat yang mengalami kecederaan atau kecacatan untuk mendapatkan organ baru seterusnya meningkatkan mutu hidup mereka. Rancangan ini walau bagaimanapun mendapat penentangan keras daripada segelintir kumpulan masyarakat yang menganggap ianya suatu rancangan gila, tidak beretika, menyalahi hak asasi manusia dan menyalahi hukum hakam agama. Oleh itu, episod kali akan cuba membawa kedua-dua suara iaitu penyokong dan penentang projek perladangan manusia ini bagi memberi peluang kepada rakyat menilai sendiri situasi tersebut. Sebagai permulaan, saya beri peluang kepada YAB Datuk Menteri bagi menjelaskan suara dan pendapat kerajaan berhubung isu ini.

YAB Menteri: Terima kasih kepada saudara moderator. Rancangan kerajaan sebenarnya sangat praktikal dan menguntungkan semua. Rancangan ini sebenarnya bukanlah satu rancangan baru dan pernah dibincangkan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Malangnya ia telah mendapat tentangan keras daripada negara-negara anggota disebabkan soal moraliti dan hak asasi manusia. Akhirnya, tidak ada organisasi atau negara yang sanggup untuk merealisasikan rancangan ini, Kita sebagai bangsa terbaik dan negara berdaulat sama sekali tidak akan tunduk kepada pandangan masyarakat antarabangsa apatah lagi kita telah meneliti manfaat yang boleh diterima daripada projek ini. Malah, kita akan membuktikan kepada dunia bahawa projek ini boleh dilaksanakan secara bermoral dan menepati semua kehendak hak asasi manusia dan pada masa yang sama dapat meyakinkan golongan agama bahawa projek seumpama ini adalah diharuskan demi kebaikan semua.

Projek Perladangan Manusia yang ingin dijayakan kerajaan bertitik tolak daripada keinginan untuk meningkatkan kemampuan bidang sains dan teknnologi dan menghasilkan sesuatu yang akan meningkatkan mutu hidup manusia. Bayangkan seorang yang cacat anggota dapat memiliki anggota yang lebih sempurna seterusnya membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik. Kita juga tidak akan mengalami masalah kekurangan darah di hospital-hospital dan pusat-pusat kesihatan. Dengan menternak manusia, kita dapat membantu manusia yang lain bagi mendapatkan peluang kedua. Apa yang penting bagi kerajaan adalah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Moderator: Professor, setelah mendengar kata-kata YAB Menteri tadi, adakah tindakan Malaysia ini sesuatu yang menentang arus semula jadi manusia memandangkan masyarakat antarabangsa lain menentang keras idea ini. Adakah wujud ruang di mana idea ini boleh diterima secara moral dan diterima sebagai sebahagian daripada proses peradaban manusia?

Professor: Seperti mana banyak hal yang lain, kita boleh melihat isu ini dari pelbagai segi. Dari segi praktikal ataupun kebolehupayaan ianya dijalankan, sudah tentu ia boleh diterima jika ianya boleh dilaksanakan. Malah, asas kepada rancangan seumpama ini telah wujud berzaman lamanya. Sebagai contoh, Nazi menjalankan eksperimen ke atas manusia bagi pelbagai tujuan termasuklah perubatan. Ilmu perubatan tidak mungkin akan berkembang tanpa eksperimentasi yang dilakukan terhadap spesimen-spesimen termasuklah makluk hidup seperti manusia. Banyak juga penemuan-penemuan baru dijumpai akibat keadaan yang dilihat tidak bermoral seperti peperangan. Jika tidak kerana peperangan yang mencederakan ramai tentera, tidak mungkin kita akan menjumpai kaedah untuk memberhentikan darah atau kaedah-kaedah merawat luka yang lain. Dalam perkembangan tamadun manusia, pengorbanan manusia adalah penting bagi memberi kelebihan kepada manusia yang lain. Ini adalah lumrah dalam peradaban manusiawi.

Untuk melihat isu ini dalam skop moraliti, mungkin soalan yang boleh menimbulkan keraguan bagi meneruskan rancangan ini adalah siapakah yang perlu berkorban dan siapa pula yang akan dapat keuntungan. Sudah tentu tiada siapa yang inginkan ia dikorbankan. Akhirnya, manusia akan tersepit dalam pergolakan kuasa yang mana manusia yang kuat akan sentiasa berada di atas dan menindas manusia yang lemah. Selagi mana manusia yang kuat ini berkuasa, maka soal moraliti adalah tertakluk kepada kemahuannya. Pada masa yang sama, manusia yang ditindas tidak mungkin akan secara terus menerus akan merelakan penindasan ini. Sampai masa, mereka akan bangkit dan menjadi manusia yang akan menindas manusia yang lain pula. Oleh itu, saya melihat isu ini masih mempunyai ruang untuk dibahaskan dan di sinilah peluang kepada negara kita untuk menjelaskan atau merealisasikan impian untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

Moderator: Bagaimana pula pendapat YB Dato'?

YB Dato': Terima kasih kepada kedua-dua ahli panel kerana memberi peluang kepada saya mendengar pandangan yang bodoh dan tidak berakhlak. Tidak seperti mereka berdua, saya percaya bahawa manusia bukan binatang. Bukan binatang untuk dikorbankan, bukan juga binatang yang mempermainkan nyawa manusia yang lain. Walaupun rancangan ini mempunyai kebaikan namun kerosakan yang dibawa kepada tamadun manusia adalah sangat besar dan merugikan. Jika kita menerima hujah Professor itu tadi, maka jelas perladangan merupakan satu bentuk penghambaan yang bukan sahaja melemahkan institusi manusia tetapi juga boleh membawa risiko yang besar. Manusia akan berada dalam keadaan tidak tenteram disebabkan pergolakan antara manusia. Jika kita tidak melayan setiap anggota masyrakat seadilnya, maka masyarakat akan terjerumus dalam kancah ketidaktentuan. Ianya juga meletakkan tanda harga kepada setiap antara kita. Jika harga kita rendah, maka kita mungkin akan dikorbankan utnuk orang lain. Hal ini akan berterusan disebabkan hilangnya kasih sayang antara manusia, hilangnya hormat terhadap nyawa dan hilangnya maruah manusia disebabkan kepentingan sendiri.

Setiap insan yang bernyawa mesti dilayan seadilnya dan selayaknya. Adakah manusia yang ingin dikorbankan demi kepentingan manusia yang lain seadilnya dan selayaknya diletakkan dalam keadaan tersebut? Adakah ia punya hak untuk keluar dari kelompok terbabit dan bebas merdeka seperti anda? Keadilan kepada setiap anggota masyarakat merupakan satu asas penting bagaimana kita ingin membina tamadun dan kemasyarakatan yang kukuh dan hebat. Masih banyak cara kerajaan dapat lakukan untuk meningkatkan mutu hidup golongan yang kurang bernasib baik seperti memberi peluang kepada mereka untuk memperoleh peluang pendidikan, pekerjaan dan kekeluargaan. Mereka boleh merasai mutu kehidupan yang baik tanpa mengorbankan mutu kehidupan manusia yang lain. Malah tahap perkembangan sains dan teknologi adalah sangat baik dan telah terbukti banyak membantu golongan ini dari segi mutu perubatan dan kesihatan yang tinggi dan pelbagai penemuan atau rekacipta teknologi baharu yang memudahkan urusan harian. Saya berpendapat rancangan ini merupakan satu taktik kotor pihak kerajaan bagi kepentingan pihak-pihak tertentu.

...bersambung  
      

No comments:

Post a Comment